Sunday, September 26, 2010

Gantung Rahsia Rumahtangga Di Dinding Facebook

Artikel ni aku copy dari Gua.com and tepek kat sini utk kita sama2 baca..menarik dan perlu ambil iktibar pada yang terlalu fanatik pada FB :P

Gantung Rahsia Rumahtangga Di Dinding Facebook
by Norana Johar


“Biarlah Mama sendiri mengharunginya demi anak-anak Mama.”

Sekiranya anda terbaca komen sebegini di atas dinding Facebook rakan anda, tentu sekali banyak persoalan yang ingin anda ajukan. Kenapa? Apakah yang terjadi? Dalam waktu yang sama mendesak, “Ceritalah!!”.

Maka, andaian-andaian liar mula tercetus di minda pembaca sedangkan bagi tuan punya akaun, ia hanyalah sekadar luahan hati. Satu ayat tidak mungkin memberi kesan apa-apa.

Bagaimana pula kalau anda lihat komen sebegini:

“Kalau nak sangat yang lebih muda, go ahead!!!!”

Kontroversi bukan?

“Susah kawin dengan orang gaji kecik ni.”

Hmm…. Tak patut cakap begitu.

“Benci bila my Hubby cakap I gemuk, dia pun sama je boroi.”

Kutuk mengutuk sesama sendiri pun sering dilihat di ruangan komen di Facebook.

Pengguna Facebook rata-rata menulis apa sahaja di dinding sendiri kerana bagi mereka ia merupakan ruang peribadi mereka di alam maya dan pendapat atau luahan yang diluahkan di situ hanyalah mengikut rentak dan citarasa mereka sendiri.

Aku punya Facebook, aku punya sukalah! Kegagalan untuk mengenali gelanggang media sosial ini sebagai satu komuniti menjadikan kelakuan ini amat berisiko sekali.

Fenomena Facebook semakin popular di zaman kini sehinggakan anak yang baru bersekolah rendah sudah mempunyai akaun dan datuk yang sudah berusia pun tidak mahu ketinggalan. Media sosial ini semakin menular ke dalam masyarakat; disamping memberi impak positif, fenomena ini juga tidak kurang memudaratkan jika pengguna tidak berhati-hati dalam menggunakan medium itu untuk meluahkan perasaan hati sendiri.

Seringkali pengguna Facebook gemar menulis apa sahaja yang berlaku dalam kehidupan mereka di gelanggang tersebut tanpa mengira sama ada ia perkara remeh mahu pun yang penting.

“Murtabak tadi sedap sungguh”; penting ke maklumat ini kepada umum?


“Jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, Amin…”; tidak kurang juga ada di antara pengguna yang berdoa di Facebook. Namun apabila kisah rumahtangga didedah untuk tontonan umum, ia mengundang pelbagai reaksi spontan yang bakal menjadi barah seperti ungkapan “tikus membaiki labu”.

Amat mudah bagi mereka di luar sana untuk menilai dan melontarkan reaksi tanpa mengambilkira kesannya kepada perhubungan yang sedang meruncing. Boleh dikatakan semua pengguna Facebook mendambakan perhatian dan kehadiran banyak komen kepada luahan hati yang ditulis akan menjadikan perkara kecil semakin membesar.

Setiap ahli keluarga bertanggungjawab menjaga kerukunan rumahtangga dengan tidak menceritakan apa yang terjadi di dalam rumah sendiri kepada sesiapa pun.

Lantas, menulis ‘luahan hati’ di dinding umpama menebuk lubang di dinding rumah sendiri agar dapat diintai orang luar. Satu ayat yang kontroversi mengundang pelbagai andaian daripada komuniti Facebook dan apabila didesak oleh teman-teman, masalah yang mula-mulanya tidak diketahui ramai mula diceritakan sedikit demi sedikit.

Fikir dengan teliti sebelum meluahkan isu peribadi kepada umum. Ada di kalangan rakan-rakan kita juga merupakan rakan suami atau isteri kita sendiri dan menceritakan kisah peribadi hanya mengaibkan pasangan sendiri.


Halang diri untuk meluahkan perasaan di Facebook ketika perasaan amarah sedang membara kerana tiada siapa yang untung kesan daripada perbuatan tersebut.

Simpanlah rahsia keluarga dan rumahtangga di tempat yang selamat, jangan digantung di dinding Facebook untuk tontonan umum dan akhirnya merosakkan perhubungan.

Jika anda seorang rakan yang melihat perkara ini berlaku, jalankan peranan anda dengan menasihatkan rakan agar memberhentikan tindakannya itu. Mungkin bagi si pengguna, hanya dia dan komputer riba atau telefon bimbit, realitinya, sekali tulis begitu ramai mata yang membaca dan mereka sedang menilai kehidupan anda di luar sana.

Beringatlah!
Related Posts with Thumbnails